Sandakan, — Akauntan Negara Malaysia telah mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Sandakan dalam usaha memperkukuh hubungan serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kewangan sektor awam di peringkat negeri.
Lawatan tersebut dimulakan dengan sesi amanat kepada seluruh warga kerja JANM Sandakan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan integriti, akauntabiliti serta komitmen berterusan dalam memastikan pengurusan kewangan kerajaan dilaksanakan secara telus dan berkesan. Beliau turut menyeru agar semua kakitangan terus mempertingkatkan kompetensi serta mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi selaras dengan aspirasi jabatan.
Selain itu, satu sesi soal jawab turut diadakan bersama kakitangan lantikan JANM. Sesi ini memberi peluang kepada warga kerja untuk mengemukakan pandangan, cadangan serta mendapatkan penjelasan secara langsung berkaitan hala tuju jabatan, kebajikan kakitangan dan penambahbaikan proses kerja.
Lawatan ini turut disusuli dengan tinjauan ke sekitar pejabat JANM Sandakan bagi melihat sendiri kemudahan serta operasi harian jabatan. Akauntan Negara Malaysia turut berinteraksi secara santai dengan warga kerja bagi memahami cabaran serta keperluan di peringkat pelaksanaan.
Secara keseluruhannya, lawatan ini diharap dapat memperkukuh semangat kerjasama, meningkatkan motivasi kakitangan serta memperkasa lagi penyampaian perkhidmatan JANM kepada pelanggan dan pemegang taruh.
.



